j8KAizCB_w2ir1BbdieCEiakUFo MERAH MATO: Pilihanraya kecil

Mari jadi rakan dan follow blog saya

Showing posts with label Pilihanraya kecil. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya kecil. Show all posts

Monday, 15 July 2013

PRK Kuala Besut Tapak Merintis Penyatuan Nasional



Adakah satu kebetulan atau memang satu suratan? Pertembungan kuasa politik orang Melayu-Islam akan sekali lagi berlaku dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu dalam tempoh tidak sampai tiga minggu lagi.

Adakah kegetiran perpecahan politik Pilihanraya Umum ke-13 kira-kira 80 hari lalu akan berulang dan semakin menjarakkan lagi hubungan ukhuwah Islamiah di antara penyokong Umno dan PAS?

Atau, adakah pilihan raya kecil itu akan merintis jalan damai di antara ummah? Persoalan yang amat menguja adakah rahmat Ramadan al-Mubarak akan menyelimuti segala unsur permusuhan dan persaingan politik di kalangan umat Islam di negara ini?

Adakah sempena Ramadan ini, Allah akan mengukuhkan lagi syiar dan perpaduan umat Islam di negara bagi mengimbangi tragedi jatuhnya kerajaan yang cenderung kepada Islam yang diterajui oleh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir?

Dengan perkataan lain adakah musibah di Mesir ini akan menyuntik keinsafan bahawa hanya perpaduan akan menjamin kerukunan dan kesejahteraan hidup di negara ini dan sekali gus melonjakkannya sebagai ikon pembangunan ummah Islam sejagat?

Malangnya sejak awal lagi PAS sudah mencebikkan wajah pada kemungkinan penyatuan berlaku. Ia memberi alasan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kurang peka pada keluhuran dan rahmat Ramadan.

Malah di sisi politiknya PAS menganggap tarikh membuang undi yang jatuh pada hari bekerja (24 Julai ialah hari Rabu) sebagai usaha melemahkan azam anak perantauan Kuala Besut untuk pulang mengundi. Sekali lagi pakatan pembangkang nampaknya cuba mempertikaikan wibawa SPR.

Justeru mungkin tidak mustahil bagi menyemarakkan gendang perang politik ada pemimpin pembangkang yang akan mentafsirkan bahawa Ramadan adalah bulan perang. Pertempuran Badar berlaku ketika Ramadan!

Memang dasar politik semuanya boleh dijadikan hujah. Namun umumnya interpretasi perang dalam bulan Ramadan adalah ketentuan Allah. Dan, apabila Allah menetapkan sesuatu ialah adalah manifestasi sifat Maha Tahu dan Maha Bijaksana-Nya.

Namun apa yang penting Ramadan kali ini harus dipenuhi dengan ibadah yang ikhlas. Keutamaan Islam ialah menjadi rahmat bagi sekalian alam. Maka usaha yang luhur dan keinsafan yang tinggi mengusahakan perdamaian haruslah dikerahkan dalam bulan seribu rahmat ini.

Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Inisiatif memburu perdamaian dan kerjasama mestilah membabitkan dua pihak yang bertikai. Justeru bagi menjayakan program penyatuan bangsa Malaysia, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat haruslah bersedia untuk menyelusur jalan damai.

Bagaimanapun iktikad dan iradat untuk mencari jalan damai mestilah berdasarkan kepada keikhlasan.

Pakatan pembangkang sudah berusaha keras sejak lebih lima tahun lalu untuk menguburkan Barisan Nasional. Namun hasilnya ialah pada Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu kerusi Parlimen yang ditakluki hanya bertambah tujuh berbanding PRU ke-12.

Jika diunjurkan dalam tempoh lima tahun lagi pembangkang akan dapat melebarkan undi popular dan juga memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, maka perkara utama yang harus diperhitungkan betapa parah lagi perpecahan di kalangan rakyat, terutama Melayu-Muslim akan berlaku.

Kisah ketidakupayaan Ikhwanul Muslimin Mesir untuk mengisi janji dan memenuhi idealisme rakyat untuk mengharmonikan, memakmurkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat dalam tempoh 12 bulan lalu membawa padah hingga kerajaan demokrasi Mesir digulingkan.

Sayugia diingat bahawa hakikat Ikhwanul Muslimin telah wujud di Mesir sejak pertengahan kurun lalu seharusnya menginsafkan kita bahawa perubahan ke arah lebih baik tidak semestinya boleh berlaku dengan menggulingkan kerajaan sedia ada. Ia mesti berlaku secara bertahap dan berhikmah.

Penyertaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan pada 1981 telah membawa banyak perubahan baik dalam kerajaan mahupun gerakan parti-parti pembangkang. Pelbagai dasar baru yang membawa kebaikan kepada rakyat dapat dilaksanakan.

Ketika itu andaiannya tentulah Anwar Ibrahim ikhlas mahu perbaikan berlaku di Malaysia. Maka beliau mempertaruhkan kewibawaanya untuk menyertai Umno. Tujuh belas tahun kemudian beliau bersara sementara daripada politik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Apa sebab sebenar beliau dibersarakan perlu penghujahan di lain kesempatan. Namun kaedahnya, jika ada keikhlasan dan iltizam yang kuat, Kuala Besut dengan limpahan rahmat Ramadan hampir pasti boleh menjadi titik tolak kepada Malaysia yang lebih rukun.

Sebagai permulaan mengapa tidak protoganis pilihan raya kecil Kuala Besut – PAS dan Umno bekerjasama dan berlapang dada memikirkan cara paling berkesan membawa pulang anak perantauan untuk mengundi. Hormati pilihan rakyat dan melangkah dari situ untuk mencetuskan perpaduan ummah yang lebih kekal dan kental.

Jika umat Melayu-Islam bersatu, mereka akan lebih dihormati oleh kawan dan lawan. DAP dan PKR walaupun akan iri hati, pasti akan mengakui bahawa perpaduan adalah formula terbaik untuk mencapai penyatuan nasional yang berkesan. 

Friday, 12 July 2013

PRK Kuala Besut: BN Berpeluang Menang Besar

 
 PRK Kuala Besut pada 24 Julai ini dilihat memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional dari berbagai aspek. Kuala Besut mempunyai 17,638 pengundi dengan majoriti Melayu.
Oleh yang demikian pertandingan adalah antara UMNO dan PAS.  Dalam PRU-13 yang lalu, BN telah memenangi kerusi ini dengan majoriti yang agak selesa iaitu 2,434.
Memahami kehendak rakyat masa kini yang inginkan perubahan, BN meletakkan calon muda dan berpendidikan tinggi iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan anak jati Kuala Besut.
 Tengku Zaihan berusia 37 tahun merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Bahagian Korporat. Beliau berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Bapa beliau adalah seorang guru agama dan amat dikenali oleh penduduk kawasannya.   Dengan latarbelakang keluarga dan pekerjaannya, pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon langsung tidak mengejutkan masyarakat setempat. 
Tengku Zaihan juga mempunyai sifat rendah diri dan mudah mesra sepertimana kebanyakan ‘orang-orang pantai’ iaitu gelaran yang diberi kepada masyarakat di situ.
Selain faktor calon, BN juga dilihat mempunyai kelebihan dari segi isu-isu semasa.  Perkembangan selepas PRU-13 menunjukkan bahawa ramai orang-orang PAS mula kembali ke bumi nyata dan menyedari permainan DAP.   Melalui keputusan PRU itu, jelas terbukti bahawa DAP langsung tidak mengundi PAS dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina.
Perlu diingatkan juga bahawa Terengganu merupakan tempat bermulanya perpecahan umat Islam yang bertitik-tolak dari Amanat Haji Hadi, pemimpin PAS negeri itu.   Amanat tersebut telah mengkafirkan UMNO kerana dikatakan menggunapakai perlembagaan penjajah yang sekular kerana memisahkan agama dengan politik.
 Walaubagaimanapun, isu pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini telah memaksa PAS akur bahawa UMNO dan perlembagaan UMNO bukan kafir. Malah UMNO dan perlembagaan itulah yang memastikan agama Islam berada di kemuncak tertinggi di dalam negara ini.
 Namun, DAP terus menerus mencabar kedudukan agama Islam dan Melayu yang mana menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa ‘terganggu’ dan ‘cuak’ untuk terus memberi sokongan kepada PAS selagi parti itu bekerjasama dengan DAP. 
Justeru, kita menyangka BN tidak punya masalah untuk menang besar dalam PRK ini andainya jentera parti bijak mengenengahkan isu-isu semasa seperti ini, selain isu-isu setempat yang dekat dengan masyarakat Kuala Besut.
Keputusan PAS meletakkan seorang kontraktor iaitu Azlan Yusoff, dilihat tidak akan berjaya menggugat BN.  Azlan berumur 48 tahun lebih dikenali dengan panggilan ‘Che Long’ oleh penduduk tempatan pernah memiliki sebuah stor kayu di daerah itu.
Dari apa yang tersebar di internet, PAS nampaknya menjulang Azlan sebagai ‘orang kaya’ sebagai justifikasi kepada pencalonannya.
Kita tidak faham bagaimana ‘kaya’ boleh dijadikan modal politik untuk meyakinkan rakyat bahawa calon tersebut berwibawa.  
Malah, oleh kerana Azlan menjadi kaya melalui perniagaannya sebagai kontraktor (Kelas A), ramai yang tertanya-tanya projek apa atau tender apa yang telah melonjakkan Azlan sebagai orang kaya.
Bukan kita tidak tahu bahawa kontraktor merupakan sejenis perniagaan yang paling mudah terdedah kepada berbagai jenis ‘kotoran’.   Azlan juga hanya berpendidikan SPM yang mana meletakkan beliau jauh di belakang dari calon BN.   
Berdasarkan semua maklumat ini, tidak hairanlah jika kita melihat gelombang di Kuala Besut semakin  hari semakin ‘biru’ warnanya.  Semoga keputusan PRK nanti turut memantulkan kebiruan laut di pantai Terengganu. 
Get our toolbar!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...