Azizan MB Yang Tidak Tahu Apa-apa |
Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah dikatakan amat disenangi rakyat Kedah kerana sikapnya yang santai, suka berjenaka dan bersih. Bagi rakyat Kedah yang tidak berfikiran jauh, ketiga-tiga sifat ini sudah cukup untuk diberi undi. Mereka tidak sedar bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar personaliti yang disenangi.
Bagaimanapun, Laporan Audit yang dibentangkan baru-baru ini seharusnya membuka mata rakyat Kedah mengenai kesilapan mereka memberi kepercayaan kepada pihak yang salah atas sebab-sebab yang salah. Jelas dari laporan tersebut bahawa negeri Kedah berada dalam keadaan ‘kehilangan arah’ akibat Menteri Besarnya tidak punya kawalan dan pengetahuan atas apa yang berlaku.
Masalah MB Kedah tidak tahu apa-apa bukan masalah kecil sepertimana yang cuba digambarkan oleh PAS kepada rakyat Kedah. Kelemahan beliau telah mengakibatkan Kedah kerugian atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya atau sepatutnya dapat dielakkan sejak dari awal.
Audit mendapati bahawa MB Kedah telah gagal mengenalpasti projek yang berisiko tinggi seperti perladangan di Papua New Guinea. Entah bagaimana, projek sebegitu besar boleh diteruskan dengan pinjaman berjumlah USD44 juta dari luar negara tanpa tandatangan Lembaga Pengarah. Pinjaman pula dibuat tanpa dokumen yang lengkap.
Begitu juga dengan projek 99 East Langkawi yang mengalami kerugian hanya kerana tidak menepati perjanjian tanpa sebab-sebab yang pasti.
Dan tidak perlulah disebut lagi tentang lantikan kontraktor yang tidak berdaftar sepertimana yang didedahkan secara meluas di dalam akhbar. Dari situ pula, terdedah kemudiannya amalan kronisme dan korupsi serta kelemahan yang ketara di semua peringkat pentadbiran yang terlibat.
MB yang kononnya Ulama ini juga gagal memastikan perihal agama dititikberatkan. Buktinya, Laporan Audit mendapati bahawa sijil halal negeri Kedah bagi tahun 2011 telah diberikan tanpa dikemukakan kepada jawatankuasa kerana jawatankuasa telah TIDAK PERNAH BERMESYUARAT. Sebaliknya semua kelulusan sijil halal dilakukan oleh YDP secara bersendirian atas alasan untuk kepentingan industry yang mana membangkitkan persoalan mengenai korupsi.
Semua yang berlaku ini amatlah mengejutkan kerana ia melangkaui kelemahan biasa dalam sejarah audit negeri.
Kedah bukannya negeri yang besar malah besar sedikit sahaja dari Perlis. Dari segi perindustrian juga Kedah masih jauh jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Selangor atau Johor. Dengan hanya beberapa projek setahun tentunya aktiviti kewangan Kedah juga tidaklah begitu rancak. Dalam ertikata lain, tidak seharusnya seorang Menteri Besar terlepas pandang atau tidak sedar akan apa yang berlaku dalam negeri yang kecil ini.
Justeru, tidak ada alasan bagi Azizan untuk menafikan kelemahannya. Azizan juga tidak dapat lagi untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu kerajaan terdahulu memandangkan projek-projek yang mengalami masalah yang ‘pelik-pelik’ ini adalah bermula ketika pemerintahannya.
Sudahlah projek yang ‘diluluskan’ tidak masuk akal, kerugian yang dialami pula diakibatkan oleh masalah yang tidak masuk akal juga. Di masa yang sama pula, Azizan langsung tidak mampu mencari projek yang benar-benar masuk akal yang amat diperlukan oleh Kedah dan rakyatnya. Contohnya, memelihara, memulihkan dan membina pusat-pusat pelancongan serta peninggalan sejarah. Sehingga kini, pusat pelancongan yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kedah, hanyalah Langkawi, itupun dicetus dari pemikiran Tun Mahathir yang amat dibenci oleh PAS.
Kedah sebagai tamadun tertua seharusnya mampu menjadi pusat sejarah namun usaha untuk menggali dan mengorek serta mendokumenkan sejarah lama masih gagal dilakukan. Malang bagi Kedah kerana pemimpinnya hanya berminat untuk meraih undi tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar mereka terhadap negeri tersebut. Sedangkan Kedah mampu mengatasi atau menyaingi Melaka dalam menjadi negeri bersejarah.
Ini belum lagi dikira masalah sampingan seperti KUIN atau KCS sendiri yang mana perasaan tidak puas hati di antara orang bawahan dengan orang atasan serta orang sekeliling berterusan tanpa apa-apa tindakan atau keputusan dari Azizan. Perebutan jawatan dalam pentadbiran Kedah juga dibiarkan berlarutan seolah-olah Azizan sudah buntu atau mungkin benar-benar tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku.
Kini, setelah segalanya terdedah dengan bukti audit, kita tidak tahu sama ada Azizan sengaja buat tak tahu atau benar-benar tidak tahu. Beliau tidak pula memberi jaminan siasatan atau penambahbaikan akan dilakukan ke atas pendedahan audit.
Tetapi, apa yang beliau tahu ialah menuding jari kepada pihak lain serta mengangkat bahu mengaku tidak tahu. Langsung beliau tidak malu menjadi MB yang serba tak tahu.
Maka tidak hairanlah bila ada yang bertanya “Apa yang Azizan buat di Kedah?” Maka jawapan rakyat Kedah ialah “Azizan buat tak tau”.
No comments:
Post a Comment