j8KAizCB_w2ir1BbdieCEiakUFo MERAH MATO: Saman Manoharan, Uthayakumar terhadap PM, TPM dibatal

Mari jadi rakan dan follow blog saya

Thursday, 21 June 2012

Saman Manoharan, Uthayakumar terhadap PM, TPM dibatal


KUALA LUMPUR 20 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan tuntutan saman terhadap Perdana Menteri dan timbalannya serta kerajaan Malaysia berhubung dakwaan kononnya 523 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil di negara ini ketinggalan daripada segi bantuan kewangan kerajaan.

Hakim Datuk V.T. Singham dalam penghakiman beliau berpendapat, peguam M. Manoharan dan peguam P. Uthayakumar telah gagal membuktikan mereka mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan tersebut.

Beliau memutuskan demikian setelah membenarkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut oleh Perdana Menteri, timbalannya dan kerajaan Malaysia yang difailkan pada 5 April lalu.

Manoharan yang juga Ahli Parlimen Kota Alam Shah dan Uthayakumar yang merupakan Ketua Umum sebuah pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) memfailkan saman tersebut pada 9 Februari lalu.

Kedua-duanya yang berusia 51 tahun itu mendakwa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak sama rata dan sebarang bentuk diskriminasi terhadap sekolah tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Manoharan dan Uthayakumar selaku pihak plaintif menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran serta kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pihak plaintif menuntut dua perisytiharan dan sembilan perintah, antaranya status sekolah-sekolah Tamil adalah bantuan modal dan bukan bantuan penuh adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) dengan Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pelajaran 1961.

Mereka juga mahukan perintah agar satu tabung berjumlah RM55 bilion dibayar oleh pihak defendan selama 55 tahun kepada SRJK Tamil ke dalam akaun bersama firma guaman pihak plaintif bagi membantu pelajar yang kononnya teraniaya.

Plaintif turut menuntut perintah supaya satu kampus Universiti Malaya untuk melatih sekurang-kurangnya 1,000 guru berijazah bagi Sekolah-Sekolah Tamil didirikan dengan bajet RM300 juta di sebelah SRJK Tamil Tanah Rata, Cameron Highlands.

Terdahulu, Hakim Singham mendengar hujahan permohonan membatalkan saman itu yang dikemukakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Effandi Nazila Abdullah atas alasan pihak plaintif tiada locus standi dan gagal menunjukkan kepentingan mereka terjejas disebabkan polisi kerajaan.

Selain itu, tindakan saman tersebut bagi pihak defendan, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia sepatutnya dikemukakan melalui tindakan semakan kehakiman.

Hakim Singham dalam keputusannya bersetuju dengan hujahan Effandi Nazila bahawa selain tidak mempunyai locus standi, pihak plaintif gagal menjawab mengenai hak mereka kononnya telah terjejas.
Menurut beliau, hak pihak plaintif sebenarnya tidak terjejas secara peribadi namun mereka tetap berpegang, tindakan itu merupakan perjuangan mewakili masyarakat India di negara ini.

Beliau sehubungan itu menolak dengan kos sebanyak RM1,000 setiap seorang untuk dibayar oleh pihak plaintif kepada pihak defendan.

1 comment:

Get our toolbar!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...