Hiasan |
SEREMBAN: Pengedaran majalah pengiklanan percuma yang memaparkan gambar model produk kecantikan dalam keadaan seksi dan mengghairahkan di daerah ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk.
Abdul Aziz Abdul Hamid, 53, dari Senawang berkata, pemaparan gambar seksi pada produk iklan itu tidak boleh dibiarkan kerana ia menyentuh sensitiviti dan bertentangan nilai murni masyarakat. “Saya terkejut dan malu melihat banyak gambar model wanita hampir berbogel dan menunjukkan aksi ghairah untuk memperagakan produk kecantikan dalam majalah itu.
“Bagaimana pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh meluluskan lesen pencetakan majalah iklan itu? Perkara ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dusun Nyior, Mohd Rofik Mohd Yusof, 52, berkata, pengedaran majalah pengiklanan itu boleh memberi kesan tidak baik kepada masyarakat terutama golongan muda.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya bukan hanya mementingkan jualan produk mereka bagi meraih keuntungan semata-mata.
“Saya berasa malu melihat majalah seperti itu dan khuatir ia mempengaruhi pemikiran anak-anak serta remaja.
“Saya berharap pihak berkuasa memantau dengan memastikan mereka yang terbabit dengan penerbitan majalah itu tidak melanggar syarat,” katanya. Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus menyelar tindakan pihak terbabit yang mempromosikan produk atau perniagaan mereka dengan menggunakan gambar wanita separuh bogel tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat.
Katanya, kegiatan pengedaran majalah terbabit di setiap rumah penduduk di taman perumahan di daerah ini bermula sejak awal tahun lalu dan terdapat banyak gambar wanita seksi dipaparkan di dalamnya.
“Pengedaran majalah iklan itu menimbulkan rasa kurang senang ibu bapa kerana bimbang ia boleh mempengaruhi sikap dan pemikiran anak remaja mereka.
“Walaupun mereka mungkin memiliki lesen daripada pihak berkuasa, tetapi isi kandungan yang dipaparkan tidak sesuai kerana pembacanya merangkumi semua peringkat masyarakat,” katanya.
Dengan meletakkan dalam blog ini yang ramai pengikut ni akan menambahkan lagi penyebaran iklan ini.
ReplyDelete